MENGENAI ABIM



Angkatan Belia Islam Malaysia (Jawi: اڠكتن بليا اسلام مليسيا, Bahasa Inggeris: Muslim Youth Movement of Malaysia, disingkatkan sebagai ABIM) merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia. 

Sejarah

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah ditubuhkan pada 6 Ogos 1971 di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hasil beberapa pertemuan generasi pengasas ketika itu. Pengerusi penaja rasmi ketika itu ialah Ustaz Abdul Wahab Zakaria dan Fauzi Abd. Rahman (sekarang Dato’) sebagai Setiausaha Agung. ABIM merupakan sebuah badan bukan kerajaan Islam yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan pada 17 Ogos 1972 di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Muktamar ABIM yang pertama telah diadakan pada tahun 1972 di mana Ustaz Razali Nawawi (sekarang Profesor Dr) telah dipilih sebagai Presiden ABIM yang pertama manakala Anwar Ibrahim (sekarang Dato’ Seri) dipilih sebagai Setiausaha Agung. Pada tahun 1974 Anwar Ibrahim telah dilantik sebagai Presiden ABIM yang kedua. Ustaz Siddiq Fadzil (sekarang Dato’ Dr) pula telah dilantik untuk memangku dan seterusnya menjadi Presiden ABIM selepas penyertaan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada tahun 1982.

Ustaz Muhammad Nur Manuty (sekarang Dr) telah dilantik sebagai Presiden pada tahun 1991. Pada September 1997, Ahmad Azam Abdul Rahman telah dipilih sebagai Presiden ABIM yang kelima di Muktamar Sanawi ABIM ke-26 di Alor Setar, Kedah. Pada Ogos 2005 pula, saudara Yusri Mohamad dipilih sebagai Presiden ABIM yang keenam di Muktamar Sanawi ABIM ke-34. Dalam era 1970-an, semasa ABIM berada di bawah kepimpinan Ustaz Razali Nawawi dan Anwar Ibrahim, ABIM mengambil pendekatan konfrontasi dan dengan demikian, ABIM menjadi lantang terhadap beberapa dasar dan pendirian pihak pemerintah. Pendekatan ini dirasakan sesuai dengan tuntutan dan keperluan era itu.

Pada dekad kedua, di tahun-tahun 1980-an, ketika kepimpinan Ustaz Siddiq Fadzil, pendekatan ABIM ditandai oleh perubahan orientasi ke arah pendekatan menangani dan menyelesaikan masalah (problem-solving). Pendekatan ini melahirkan banyak institusi dan agensi ABIM seperti Islamic Outreach-ABIM dan seumpamanya. Ketika dekad ketiga 1990-an pula, ABIM yang berada di bawah kepimpinan Ustaz Muhammad Nur Manuty berperanan lebih proaktif sebagai rakan dalam pembinaan negara (partner in nation-building).

Di alaf baru, Ahmad Azam Abdul Rahman membawa tema pemugaran semula idealisme untuk menggilap semula dinamika perjuangan serta agenda pemersatu ummah, bertepatan dengan tuntutan semasa yang begitu mendesak. ABIM terus menjadi jurubicara umat dalam pelbagai dimensi agar umat seluruhnya terpelihara iman, nyawa, harta, maruah, kebebasan, hak dan keselamatan mereka. Kini ABIM di bawah pimpinan saudara Yusri Mohamad memberikan tumpuan kepada agenda dakwah serta memperkasa agama dan bangsa. Pada 1 Ogos 2009, Muhamad Razak Idris dipilih sebagai Presiden ABIM yang ketujuh di Muktamar Sanawi ke-38.

Misi dan visi

ABIM adalah sebuah gerakan yang bertunjangkan ilmu (knowledge-based) dan memilih untuk mengambil sikap terbuka serta sederhana berasaskan realiti masyarakat setempat di samping memegang teguh prinsip-prinsip Islam serta kesepaduan ilmu, iman dan amal dalam rangka pembangunan manusia. Walaupun ABIM menangani isu-isu politik, namun ia sentiasa bersikap non-partisan; bebas dan tidak memihak atau tunduk kepada kepentingan mana-mana parti-parti politik.

Visi ABIM ialah "Membina Dan Memimpin Tamadun Khayra Ummah manakala misinya pula ialah "Gerakan Islam Yang Komprehensif untuk Merealisasikan Cita-cita Islamiyyah".

Budaya ABIM:
  1. Menghayati Budaya Ilmu,
  2. Menghayati Amalan Kerohanian,
  3. Menghayati Amal Shura dan Amal Jama’iyy,
  4. Memahami dan Melibatkan Diri Pada Isu Semasa, dan
  5. Menghayati Ruh - Jihad fi Sabilillah.


Objektif:
  1. Menegak, mengembang dan memperjuangkan cita-cita Islamiah sesuai dengan ajaran asasi al-Qur’an al-Karim dan Sunnah Rasulullah s.a.w.
  2. Menjalankan da’wah Islamiah dengan cara yang progresif kepada seluruh lapisan masyarakat;
  3. Menggembleng tenaga belia seluruhnya dan mengarahkannya untuk kebaikan masyarakat;
  4. Mewakili belia-belia Islam Malaysia di persidangan-persidangan luar negeri;
  5. Menjalankan kegiatan-kegiatan lain yang tidak berlawanan dengan ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah.