Bersempena kita menyambut tanggal 1 Muharram 1436
hijriah, saya mewakili ABIM Beluran ingin berkongsi dengan anda semua untuk
kita 'flashback' (kembali) semula ke peristiwa besar dalam Islam iaitu perjalanan
Hijratul Sayidina Rasulullah daripada Kota Mekah al Mukarramah ke Kota Madinah
al Munawwarah yang berlaku pada 12 Rabiulawal tahun ke 13 kerasulan Sayidina Rasulullah bersamaan 2 Julai 622 Masehi.
Untuk kali ini saya suka membawa anda melihat peristiwa
tersebut dalam sudut pandang yang berbeza.
Ada dua persoalan yang perlu saya kemuka berkaitan
peristiwa tersebut:
- Apakah hikmah terbesar yang didapati daripada Hijrah tersebut ?
- Apakah rahsia kenapa Allah perintahkan Sayidina Rasulullah dan para sahabat berhijrah?
Sekiranya Islam itu hanya sekadar ibadah ritual sahaja
seperti solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain, maka tidak perlulah ada
perintah hijrah. Cukuplah Sayidina Rasulullah dan para sahabat di Mekah sahaja
sebab di sana ada Kaabah. Lagi besar pahala ibadahnya daripada di Madinah. Juga
kalau ingin difikir ujian yang di lalui oleh Sayidina Rasulullah dan para
sahabat lebih hebat di Mekah maka lagi banyak pahala di perolehi.
Sebenarnya tujuan Hijrah tersebut adalah untuk supaya Islam
itu menjadi satu kuasa yang memerintah agar kesyumulan Islam itu dapat diterjemahkan
dalam masyarakat. Sekiranya Islam itu tidak memerintah, bagaimana syiar Islam
dapat dilaksanakan?
Pentingnya kuasa dalam Islam itu boleh kita lihat ketika
sebelum peristiwa hijrah, ada 360 patung berhala di sekeliling Kaabah. Oleh
kerana bukan Islam yang memerintah ketika itu maka Sayidina Rasulullah tidak
boleh meruntuhkan patung berhala tersebut sesuka hati. Hanya benci dalam hati
sahajalah yang mampu. Walaupun ketika itu iman telah kuat ditanam dan dipasak
dalam hati dan jiwa para sahabat.
Sebaliknya selepas kerajaan Islam tertegak di kota
Madinah dan Sayidina Rasulullah menjadi ” presidennya” dan dalam peristiwa
pembukaan kota Mekah yang telah di rakamkan oleh Allah dalam surah Al Fath,
baru Sayidina Rasulullah berjaya meruntuhkan kesemua patung berhala tersebut
sebebersih-bersihnya.
Mungkin ada yang terkeliru antara orang Islam yang
memerintah dengan Islam itu memerintah adalah dua perkara yang berbeza. Apabila
orang Islam memerintah belum tentu syariat Islam itu dilaksanakannya.Seperti
ungkapan yang biasa kita dengar ” ORANG ISLAM BELUM TENTU BERIMAN TAPI ORANG
BERIMAN PASTI DIA ISLAM ”
Sayidina Umar dan Sayidina Uthman kedua-duanya
diriwayatkan berkata dengan lafaz yang hampir sama :-
إن الله ليزع بالسلطان ما لا يزع بالقرآن
Ertinya : Sesungguhnya Allah swt akan melarang melalui
kuasa sesuatu yang tidak dapat dilarang dan ditegah melalui Al-Quran
(peringatan dan nasihat)
(Tarikh baghdad, 4/107 untuk hadis Umar, dan
At-Tamhid, Ibn Ab Barr, 1/118 untuk hadis Uthman)
Kita ambil contoh, banyak negara Islam di dunia ini
kecuali Arab Saudi yang di perintah oleh orang Islam tapi undang-undang Islam
tidak terlaksana sepenuhnya seperti zaman Sayidina Rasulullah dan khulafa ar
Rasyidin.
Bersempena peristiwa Hijratul Rasul 1436 hijriah ini
marilah kepada mereka yang masih bersikap berkecuali dalam masalah ini
berhijrah kepada sikap memihak dan yang telah pun membuat pilihan yang betul
agar sentiasa beristiqamah dalam perjuangan yang suci ini.
Dalam hal ini kita hanya ada dua pilihan sahaja sama benar
atau salah, dosa atau pahala, syuga atau neraka. Tidak ada istilah berkecuali
atau atas pagar. Wallahua’alam.
Salam Maal Hijrah 1436
Saya,
Sharif Suhaimi Sharif Miasin
(Mewakili ABIM Beluran)